Sabtu, 13 Februari 2010

Kesan-kesan Modul Pengajaran PLKN Terhadap Remaja

Pembelajaran daripada modul-modul yang diajar semasa menjalani Program Latihan Khidmat Negara sebenarnya memberikan banyak kesan kepada remaja. Apa yang diharapkan adalah modul-modul tersebut dapat memberikan kesan yang positif kepada remaja dalam membentuk peribadi dan sahsiah yang unggul. Antara kesan-kesan Modul Pengajaran terhadap remaja adalah :

1. Modul Fizikal

Dewasa ini, pemodenan negara yang ada telah menjadikan masyarakat terutamanya remaja semakin tidak aktif. Mereka gemar menghabiskan masa yang lama dengan menonton tv, video dan bermain permainan komputer. Kehidupan yang tidak aktif boleh menyumbang kepada terjadinya risiko mudah mendapat penyakit, sikap malas, gaya hidup yang tidak baik dan pelbagai lagi. Kita perlu hidup cergas dan aktif untuk menjamin kesihatan yang baik. Badan yang cergas menjadi salah satu faktor kepada minda yang cerdas. Melalui pengertian yang lain, kesihatan mental dan kesejahteraan diri merupakan salah satu daripada konstruk psikologi yang mempunyai hubungan yang sangat mempengaruhi pembentukan personaliti seseorang individu.
Fizikal termasuk salah satu daripada rangkuman pengertian sahsiah. Ia terbahagi kepada 2 iaitu melalui suara dan bahasa badan. Sebagai contoh, subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di sekolah telah banyak membentuk sahsiah pelajar. Colfer, Hamilton dan Magill (1986) berpendapat PJK merupakan proses pembelajaran yang berorientasikan tugasan dan dapat menghasilkan kejayaan kepada sesuatu kumpulan pelajar . Dengan memerhatikan aspek fizikal seseorang, secara tidak langsung kita boleh menilai sahsiah dirinya samada baik atau sebaliknya. Oleh itu, fizikal menjadi modul yang sangat penting dalam pembentukan peribadi, akhlak dan sahsiah diri. Sebagai golongan pelapis generasi akan datang, golongan remaja perlu hidup sihat dari segi fizikal dan mental agar mereka dapat memberikan sumbangan secara optima kepada kemajuan negara sejajar dengan konsep ‘Rakyat Sihat, Negara Maju’.

2. Modul Kenegaraan

Masyarakat merupakan aset terpenting sesebuah negara yang mentadbir dan menentukan samada ia berada dalam suasana aman damai atau pun sebaliknya. Teori hukum alam menurut Plato dan Aristoteles menyatakan bahawa kondisi alam membawa kepada perkembangan manusia yang akhirnya mempengaruhi pertumbuhan negara. Di masa kini, ramai remaja bermasalah disebabkan kurang rasa cintakan negara yang membawa faktor tiada masa depan. Dengan kewujudan semangat kenegaraan dan patriotik yang tinggi di dalam diri belia secara tidak langsung akan menjana azam dan cita-cita yang mulia atas dasar yang satu iaitu untuk membawa kemajuan, memberi sumbangan dan menyumbangkan pengertian yang besar kepada negara. Penerapan nilai kenegaraan ini juga akan memupuk semangat satu bangsa, tidak membezakan kulit, bangsa dan agama, serta menghasilkan belia berjiwa murni, cenderung kepada perpaduan, mempunyai rasa kepunyaan dan identiti. Seterusnya membentuk sahsiah yang terpuji.


3. Modul Pembinaan Karaktor

Modul pembinaan karaktor merupakan modul yang sangat penting kerana ia merangkumi kesemua modul yang lain. Karaktor merupakan asas diri setiap individu yang akan menentukan produk itu bermutu atau tidak. Ia merangkumi karaktor terhadap diri, keluarga, komuniti dan negara. Keempat-empat aspek ini sangat penting kerana ia membabitkan pembentukan sahsiah individu, perhubungan sesama individu yang lain dan aspek kepimpinan diri terhadap sesuatu organisasi. Di Malaysia, kajian mendapati faktor utama kerosakan akhlak belia adalah disebabkan pergaulan dengan kawan-kawan yang mana secara tidak sedar akan mempengaruhi diri setiap individu. Teori pengaruh sosial normatif menjelaskan bahawa remaja mempunyai perkumpulan mereka yang bertindak menurut konsensus yang ditetapkan oleh kumpulan. Misalnya, perkumpulan remaja Melayu mempunyai nilai, sikap, dan tindakan yang berbeza daripada perkumpulan remaja Cina, India, dan lain-lain keturunan. Sehubungan daripada itu, pembinaan karaktor perlu diambil berat dan diuruskan secara baik oleh remaja dengan cara mengenali diri sendiri dan orang lain. Kemahiran untuk memilih kawan perlu ada agar tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang akhirnya akan memudaratkan diri sendiri. Selain itu, karaktor yang agak penting untuk dibina dalam diri adalah kebijaksanaan dalam pertuturan dengan masyarakat luar. Ini sangat mempengaruhi keutuhan suatu persahabatan dan kelancaran dalam bekerjasama. Tidak lupa juga, ilmu kepimpinan haruslah dipelajari agar mudah diterima oleh pengaruh yang dipimpin.

4. Modul Khidmat Komuniti

Kehidupan di muka bumi tidak membawa makna sekiranya hanya berseorangan. Oleh itu, perhubungan sesama manusia sangat penting sebagai memenuhi konsep kehidupan bermasyarakat. Sikap tolong-menolong dan mengambil berat antara satu sama lain adalah contoh terbaik bagi mengekalkan dan memelihara perhubungan ini. Menurut agama Kristian, ajaran asasnya ialah mencintai Tuhan dengan sepenuh hati dan mencintai jiran seperti mencintai diri sendiri. Ini membawa maksud perhubungan sesama makhluk tidak boleh diputuskan kerana ia akan mengundang keburukan. Seperti sedia maklum, terlalu ramai pelajar yang tidak menghormati guru, orang tua, alam sekitar dan pelbagai lagi. Terlalu banyak kerosakan yang berlaku kerana kurangnya kesedaran diri antara satu sama lain. Dengan mengamalkan khidmat komuniti yang merangkumi kejiranan, khidmat sosial, alam sekitar dan kemudahan awam, sifat sayang sesama makhluk yang lain akan terbentuk. Secara tidak langsung, personaliti yang baik akan wujud dalam diri. Ini berkaitan dengan pembentukan sahsiah melalui didikan dari orang tua mengenai nilai hidup bermasyarakat.

1 ulasan:

  1. Saya tahu tapi everyone is different. Bukannya semua orang physically fit.

    BalasPadam