Selasa, 9 Februari 2010

Pengenalan kepada web 2.0

Web 2.0 bukan merupakan perkara baru dalam dunia internet khasnya pada era globalisasi kini. Hal ini adalah ekoran daripada kepantasan anjakan paradigma dan transformasi dunia global. Sebelum ini, masyarakat hanya menggunakan web untuk mendapatkan maklumat semata-mata. Tetapi, dengan kewujudan web 2.0, komunikasi manusia dapat dijalankan secara dua hala selain menjadikan komunikasi begitu berkesan, pantas dan mudah. Masyarakat bukan sahaja dapat melayari web malah dapat mempamerkan, memperluaskan dan berkongsi kreativiti mereka dengan sesiapa sahaja tanpa batasan masa, ruang dan lokasi. Dunia kini menjadi semakin sempit kerana komunikasi boleh berlaku di mana-mana sahaja, bila-bila masa dan dengan sesiapa pun tanpa sebarang halangan. Rentetan itu perbezaan budaya, agama, bangsa, warna kulit dan negara bukan lagi menjadi ukuran dalam menjalinkan perhubungan meskipun hanya secara maya.

Menurut Tim Berners Lee iaitu seorang pencipta web, web 2.0 merupakan pengganti atau satu inovasi kepada web 1.0. Hal ini adalah kerana ia merupakan satu jaringan piawaian yang dihasilkan daripada web 1.0. Perbezaan antara web 1.0 dan web 2.0 adalah dari segi kepenggunaan, fungsi dan pemilikan pengguna. Hal ini bermaksud web 2.0 merupakan satu ruang yang interaktif, dinamik dan fleksibel di mana pengguna boleh menyesuaikan kehendak dan idea mereka seiring dengan fungsi yang terdapat dalam web 2.0. Hal ini secara langsung menjadikan pengguna bukan sahaja sebagai pengunjung malah turut menjadi pemilik kepada web 2.0 tersebut. Di samping itu, web 2.0 juga bersifat mesra pengguna kerana ia memudahkan sesiapa sahaja menggunakannya ekoran ia mengandungi ciri-ciri ’apa yang anda lihat adalah apa yang anda dapat’ (WYSIWYG – What You See Is What You Get). Sebenarnya nama web 2.0 dicipta oleh Dale Dougherty pada tahun 2004. Beliau merupakan naib presiden di sebuah syarikat pengkomputeran iaitu O’Reilly Media Inc. Menurut beliau, web 2.0 merupakan sebuah jaringan yang merangkumi pelbagai makna termasuk pengguna boleh menghasilkan kandungan dan berkongsi data serta maklumat yang pelbagai dengan sesiapa sahaja. Selain itu, ia juga digunakan bersama-sama dengan pelbagai jenis perisian sosial, berinteraksi dengan aplikasi berasaskan web dan menggunakan web sebagai satu platform untuk menjana (generating), menggunakan semula kandungan dan sebagainya.
Umumnya web 2.0 mempunyai beberapa ciri termasuk penyertaan pengguna, keterbukaan, kawalan pengguna dan identiti. Lazimnya semua aspek web 2.0 adalah didorong oleh penyertaan pengguna. Hal ini adalah ekoran daripada peralihan atau transisi yang terdapat dalam web 2.0 itu sendiri. Di antaranya ialah blog, jaringan sosial, imej yang percuma dan memuat naik video. Perkara-perkara ini akan membenarkan kandungan dicipta dengan mudah dan dapat berkongsi dengan sesiapa sahaja. Manakala bagi aspek keterbukaan pula, web 2.0 tidak mempunyai sistem yang tertutup di mana menghadkan lingkungan pengguna kepada bahagian-bahagian tertentu sahaja. Pihak pemaju atau pihak syarikat juga boleh menggunakan web 2.0 untuk mengakses maklumat dan mencapai aplikasi secara telus. Selaras dengan sifat web 2.0 yang mesra pengguna, ia membolehkan pengguna mengawal semua kandungan yang mereka bina termasuk memilih identiti untuk berinteraksi di ruang maya dan rangkaian sosial yang lain. Namun begitu, pengguna juga dapat memiliki dan mengesahkan identiti sebenar mereka dalam transaksi.

Secara amnya, web 2.0 mengandungi beberapa aplikasi web yang mempunyai ciri-ciri tertentu serta dapat dijalankan secara terus melalui pelayar web tanpa perlu memasang (install) sebarang perisian. Antaranya ialah Podcast, Blog, Wiki serta rangkaian sosial seperti Friendster, Myspace, Facebook, Twitter dan sebagainya. Misalnya Friendster, ia merupakan suatu komuniti maya yang membolehkan pengguna mencari rakan baru, berkomunikasi dengan rakan sedia ada, berkongsi sebarang maklumat, menganjurkan aktiviti dan berhubung semula dengan rakan lama. Laman komuniti yang beribu pejabat di Mountain View, California ini bukan sahaja mempunyai 4.2 juta pengguna berdaftar di Malaysia malah pernah memenangi beberapa anugerah termasuk Time Magazine's 50 Coolest Websites 2004 dan Coolest Inventions 2003.
Dahulunya, Friendster merupakan sebuah laman web yang kecil. Tetapi kini ia telah bertukar menjadi sebuah laman web yang amat digemari oleh sesiapa sahaja khasnya golongan muda. Mungkin di Amerika atau negara-negara barat yang lain kurang menggunakan Friendster sebagai laman komuniti mereka, tetapi di Malaysia dan negara-negara Asia yang lain Friendster mendapat lebih perhatian. Hal ini adalah kerana satu kajian mendapati bahawa 29% daripada populasi pengguna internet di Malaysia memiliki Friendster. Selain itu, menurut Pengarah Perhubungan Awam dan Pemasaran Friendster, Jeff Roberto, pengguna Malaysia merupakan pengguna Friendster paling aktif di dunia. Kebanyakan pengguna Malaysia menghabiskan masa 245 minit setiap bulan untuk melayari laman komuniti ini.

Umumnya, selain dapat menjalinkan hubungan persahabatan, pengguna juga boleh mengubahsuai antaramuka laman mengikut idea dan kreativiti mereka sendiri. Di antaranya mereka boleh mengubahsuai latar belakang, memasukkan elemen-elemen seperti audio, video, grafik, animasi dan teks. Mereka boleh memilih sama ada ingin memasukkan latarf belakang daripada ’template’ yang telah disediakan atau ingin memasukkannya melalui kod-kod yang disediakan dalam laman-laman web tertentu. Selain itu, pengguna juga akan diberi peringatan mengenai hari lahir sahabat mereka. Peringatan tersebut dihantar melalui emel. Hal ini membolehkan seseorang itu menjadi seorang rakan yang disenangi ramai. Setelah diingatkan, mereka boleh menghantar komen atau sebarang grafik kepada rakan yang menyambut ulang tahun itu dengan menghantar satu mesej yang menarik yang boleh didapati di mana-mana laman web yang berkaitan. Bagi menambahkan lagi laman mereka, pengguna boleh menambah elemen audio yang akan dimainkan secara automatik.

Namun, jika dilihat dari aspek rekabentuk antaramuka Friendster itu sendiri, ia juga mempunyai beberapa keburukan seperti proses untuk memuat naik gambar adalah sangat lambat dan hanya boleh memasukkan gambar yang bersaiz kurang daripada 2Mb . Ini akan menyebabkan masa pengguna terbuang sekiranya mereka ingin memuat naik sesuatu gambar. Mereka perlu mengubah saiz gambar tersebut sebelum proses memuat naik gambar dilakukan. Selain itu, sebarang penyebaran video yang tidak bermoral juga boleh berlaku dengan mudah. Malah, penyebaran video itu juga turut menggunakan nama atau identiti salah seorang daripada rakan pengguna. Hal ini akan menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap individu tersebut. Jika dilihat daripada menu mesej yang disediakan, kadang-kadang pengguna menerima mesej yang sama ekoran daripada mesej yang telah di’forward’ tidak dapat ditapis dan disekat.
Namun demikian, jika dilihat dari aspek kepenggunaan pula, terdapat beberapa keburukan akibat daripada menggunakan laman web komuniti ini. Di antaranya ialah berlaku penyamaran oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Hal ini akan menyebabkan beberapa gejala seperti culik, rogol, peras ugut dan sebagainya. Selain itu, ia juga akan menyebabkan ketagihan menggunakan internet yang melampau. Akibat daripada itu, mereka lebih cenderung untuk menjadi seorang yang tidak menghiraukan dunia luar, tiada keyakinan diri dan berpotensi menjadi seorang yang pasif. Ini akan menyebabkan mereka diibaratkan seperti katak di bawah tempurung. Selain itu, mereka juga kurang bergaul dan bersosial dengan rakan yang dekat ekoran hanya memberi tumpuan kepada rakan dalam ruang maya sahaja. hal ini sedikit sebanyak akan cenderung ke arah keretakan dan kerenggangan hubungan persahabatan yang dijalinkan secara realiti.

Secara keseluruhannya, web 2.0 ini bukan sahaja mempunyai kebaikan malah turut juga mempunyai kekurangan. Oleh hal yang demikian, pengguna harus mengambil sikap berhati-hati dan berwaspada ketika menjalinkan persahabatan melalui ruang maya seperti Friendster ini. Mereka tidak harus cepat percaya dengan penyamaran dan penipuan yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab ini. Selain itu, masa penggunaan ruang maya ini juga harus dihadkan supaya sindrom ketagihan internet dapat diatasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan