Sabtu, 13 Februari 2010

Ciri-ciri Yang Terdapat Pada Modul PLKN

Kehebatan sesuatu bangsa tidak sahaja diukur dengan kemajuannya tetapi jugakeupayaannya dalam mengamalkan sahsiah yang terpuji seperti budi bahasa dan budi pekerti yang mulia. Sedari masyarakat sekarang terutamanya remaja yang mula alpa dengan kepentingan sahsiah diri kerajaan telah mencipta modul-modul pengajaran yang bersesuaian dalam melahirkan remaja yang bersahsiah semasa menjalani Latihan Khidmat Negara. Modul-modul ini dilengkapi dengan ciri-ciri yang bersesuaian mengikut kehendak kerajaan. Modul ini, mendidik remaja dari pelbagai aspek kehidupan seperti memberikan khidmat masyarakat kepada orang awam. Ini adalah salah satu perkara yang dapat membentuk sahsiah remaja. Antara ciri-ciri dan juga pengisian yang terdapat didalam modul Latihan Khidmat Masyarakat ini ialah.

1. Modul fizikal

Modul fizikal ini adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual dan fizikal bagi menjadikan peserta Program Latihan Khidmat Negara sebagai warganegara yang berkesan. Secara khususnya, latihan-latihan yang dilalui dapat mengeratkan perpaduan di kalangan peserta, mempertingkatkan ketabahan mental bagi tujuan hidup (survival), daya kepimpinan, disiplin dalaman, keyakinan diri, kemahiran bekerja sebagai ahli satu pasukan, kemahiran menyelesai masalah, membuat keputusan secara individu dan dalam kumpulan. Di samping itu, peserta akan dilatih oleh para jurulatih untuk mempelajari melalui pengalaman dalam aktiviti-aktiviti seperti kawad, kraf hutan, pertolongan cemas, membaca peta, kompas, latihan pandu arah, menyeberangi sungai, merempuh halangan, aktiviti menggunakan tali (litar tali tinggi dan rendah), merentas desa, seni mempertahankan diri, aktiviti air, kembara hutan dan lain-lain. Modul ini dilaksanakan secara berterusan sehinggalah tamat PLKN di kem-kem Khidmat Negara.

2. Modul kenegaraan

Modul Kenegaraan adalah sebuah modul yang diaplikasikan untuk memperluaskan pengetahuan tentang kenegaraan (nation-building) dan meningkatkan perasaan cinta para peserta program kepada negara. Melalui latihan dalam kumpulan, jurulatih memimpinkumpulan untuk mempelajari tentang kenegaraan yang merangkumi tanah air, rakyat, kerajaan, kedaulatan dan cabaran-cabaran dalam dan luar negara. Melalui elemen Tanah Air, peserta akan dibantu membina serta memupuk rasa sayang kepada tanah air dan sanggup mempertahankannya. Peserta membincangkan tentang negara dari segi aspek geografi, keindahan bumi ini, hasilnya, sempadan dan lain-lain. Peserta dapat mengetahui asal-usul pelbagai ras, etnik, membina rasa sayang sesama etnik dan antara etnik, memahami kepentingan bersatu-padu melalui aktiviti seperti menganalisis fakta tentang etnik, mengharmonikan perbezaan, memahami persamaan dan sebagainya melalui elemen Rakyat. Elemen Kerajaan pula membantu peserta memahami bagaimana negara (tanah air, rakyat, kedaulatan) ini ditadbir dan diurus, melalui sistem pentadbiran, undang-undang, perlembagaan dan lain-lain. Modul ini dilaksanakan selama tiga minggu dan pelbagai kaedah digunakan seperti lawatan, simulasi, lakonan, dinamik kumpulan, menonton gambar, melukis, berdebat, mentafsir peristiwa dan lain-lain.



3. Modul Pembinaan Karaktor

Modul Pembinaan Karaktor adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina karaktor yang berkesan bagi para peserta yang merangkumi diri, keluarga, komuniti dan negara. Melalui aktiviti-aktiviti ceramah, permainan, latihan dan lain-lain, peserta belajar tentang kejujuran, membuat pilihan, bertanggungjawab, memimpin, menunaikan janji (komitmen) dan membina keyakinan diri. Modul ini bermatlamatkan untuk membina karaktor yang berkesan bagi para peserta yang merangkumi diri, keluarga, komuniti dan Negara seterusnya melahirkan remaja yang bersahsiah. Terdapat dua komponen yang akan dilalui peserta di mana yang pertama berfokus kepada pembinaan diri dan kedua adalah tentang diri dengan orang lain. Di dalam komponen pertama, peserta melalui proses penerokaan diri sendiri, menyedari dan mengenal pasti ciri-ciri diri (seperti aspek kepimpinan), memperkayakan kekuatan dan memulihkan kelemahan diri. Peserta menyedari tentang penglibatan orang lain dalam kehidupan mereka, mengetahui kemahiran untuk bekerja sebagai ahli satu pasukan, cara bertindak sebagai pemimpin dalam kumpulan, dan mengatasi masalah di dalam kumpulan semasa melalui komponen kedua modul ini. Melalui Kedua-dua komponen ini akan menjadikan pelajar menghayati tentang kejujuran, membuat pilihan, bertanggungjawab, memimpin, menunaikan janji (komitmen) dan membina keyakinan diri.

4. Modul Khidmat Komuniti

Modul Khidmat Komuniti adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk mempertingkatkan semangat kesukarelaan di kalangan peserta. Para peserta mempelajari melalui pengalaman di kawasan kejiranan, dalam kerja perkhidmatan sosial, alam sekitar dan kemudahan awam. Aktiviti sukarela yang dijalankan adalah seperti mengkaji keadaan di lokasi tema-tema tersebut, mengenalpasti masalah yang ada, memberi cadangan, membuat kerja pembaikan, pembersihan, penceriaan, pengindahan dan lain-lain. Bagi tema kejiranan, perkhidmatan sukarela dilaksanakan untuk keluarga atau penduduk di kawasan perumahan, kampung, kampung baru, ladang, rumah panjang, rumah pangsa, kampung orang asli, FELDA dan lain-lain. Sumbangan kerja sukarela dalam perkhidmatan sosial meliputi aspek kesihatan, pendidikan, kebajikan, perumahan dan sebagainya dalam organisasi, institusi, pertubuhan kerajaan ataupun badan bukan kerajaan. Bagi alam sekitar pula, peserta membantu memelihara alam sekitar termasuklah hutan, sungai, kawasan pertanian, penternakan, perindustrian, pantai dan sebagainya. Kerja sukarela juga dilakukan ke atas kemudahan awam yang disediakan seperti taman rekreasi, pasar, stesen bas, keretapi, perpustakaan, lif, taman permainan, tandas awam, pondok telefon, dewan orang ramai dan lain-lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan