Sabtu, 13 Februari 2010

Program Latihan Khidmat Negara

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan salah satu program yang dijalankan di Malaysia pada 16 Februari 2004. Kandungan program ini meliputi 30 peratus ala tentera dan 70 peratus kemasyarakatan. Program ini melibatkan golongan remaja yang berumur 18 tahun atau lepasan SPM yang dipilih secara rawak. PLKN telah membawa satu matlamat yang jelas iaitu melahirkan remaja yang kental sama ada dari segi rohani mahupun jasmani. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa PLKN telah banyak memberi kesan positif kepada individu, masyarakat, agama dan negara. Remaja merupakan golongan yang begitu berharga sekali bukan kerana bilangan mereka yang ramai tetapi peranan mereka yang bakal menjadi pemimpin pada masa depan dan bakal menentukan hala tuju negara. Namun, hari ini golongan remaja telah terdedah dengan pelbagai masalah sosial seperti lumba haram, buli, seks bebas, gengsterisme, pengaruh barat dan sebagainya. Hal ini, telah menyebabkan semangat patriotisme dalam diri remaja semakin luntur dan sukar membentuk sahsiah yang baik.

Pelaksanaan PLKN telah banyak membantu dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam diri remaja. Penerapan semangat patriotisme ini dapat dilihat dalam pelaksanaan modul kenegaraan iaitu salah satu daripada empat modul yang wajib dipelajari oleh peserta PLKN. Selain daripada melahirkan remaja yang berpatriotisme yang tinggi dalam diri mereka, PLKN juga begitu berkesan dalam mempertingkatkan perpaduan kaum serta integrasi nasional. Perpaduan begitu penting dalam membentuk sebuah negara yang aman. Menurut Pengerusi Majlis Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye perpaduan yang lebih kukuh di kalangan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya di negara ini adalah kunci kepada kemajuan serta kesejahteraan negara pada masa depan. PLKN mempunyi visi dan misi yang jelas serta nyata untuk membentuk masyarakat yang mantap dari segi fizikal, mental dan keharmonian pada masa akan datang bagi menempuhi cabaran-cabaran dalam mencapai matlamat Wawasan 2020. Pelajar-pelajar lepasan SPM mempunyi banyak masa yang terluang. Oleh itu, mereka akan mudah terdedah dengan kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah seperti lepak, lumba haram, seks bebas, gangsterisme dan sebagainya.

Menurut statistik Laporan Disiplin 2001, Unit Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pelajaran Malaysia, pelajar banyak menghabiskan masa mereka dengan kegiatan tidak berfaedah seperti berjudi, mencuri,melawan guru, melawan pengawas, memeras ugut, membuli, kongsi gelap, penyalah gunaan dadah, membawa senjata berbahaya, mencabul kehormatan, mengancam, menceroboh, mengedar dadah, menunjuk perasaan dan bertaruh secara besar-besaran. Berdasarkan kepada statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia pula pada tahun 2003, bilangan kes juvana yang dilaporkan adalah sebanyak 4998 kes. Manakala pada tahun 2004 pula bilangannya meningkat kepada 6056 kes. Peningkatan ini menggambarkan tentang fenomena tingkah laku di kalangan pelajar remaja semakin serius dan sudah tentunya ianya amat membimbangkan semua pihak jika tidak dibendung. Manakala, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Bukit Aman jenayah yang mebabitkan pelajar meningkat 22.7 peratus pada tahun 2003 berbanding 99 kes sehari. Hal ini, menyebabkan pihak kerajaan dan NGO mengambil langkah sewajarnya dengan menubuhkan PLKN berhasrat agar dapat membantu pelajar lepasan SPM mengisi masa lapang dengan baik.

Program PLKN juga merupakan salah satu program yang dapat membentuk perwatakan positif melalui penerapan nilai-nilai murni. Penerapan ini dapat dilihat dalam modul pembinaan karaktor yang wajib diikuti oleh semua peserta PLKN. Tujuannya agar para peserta dapat mengetahui nilai-nilai dan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang pemimpin. Melalui modul ini juga para peserta dapat berfikir secara positif dan bijak dalam membuat keputusan serta menjadi individu yang cekap. Ia juga berkesan bagi memastikan peserta PLKN menilai kemampuan diri sendiri dan orang lain. Selain itu, modul ini dapat melahirkan individu yang dapat menjadi ‘role model’ kepada agama, masyarakat dan negara. Hal yang demikian, dapat dilihat bahawa modul pembinaan karaktor perlu dilaksanakan bagi memastikan individu mahupun peserta menjadi masyarakat yang berkeyakinan dan mempunyai nilai-nilai murni. Manakala misi pula adalah menjadi organisasi utama yang membentuk generasi berdisiplin, setia kepada negara, bersemangat waja, berperwatakan positif dan cintakan perpaduan. Membuat kajian keberkesanan mengenai Program Latihan Khidmat Negara sejajar dengan objektif dan matlamat Negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan