Rabu, 10 Februari 2010

Cabaran Membangunkan Modal Insan

Dalam usaha membangunkan modal insan, kerajaan telah menghadapi beberapa cabaran hebat. Sebagai status negara yang sedang membangun, negara kita sememangnya menghadapi cabaran yang semakin mencabar dari segi semua aspek seperti sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Namun begitu, cabaran itu seumpama pembangkit semangat negara bangsa untuk bergerak lebih maju ke hadapan.

Untuk melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, cabaran yang paling hangat sekali yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan adalah dari aspek pendidikan. Pendidikan merupakan satu medium yang terpenting sekali bagi membentuk jati diri modal insan yang akan memimpin negara. Pendidikan yang mampu menaikkan nama negara adalah pendidikan yang diiktiraf oleh dunia. Segala kekurangan dalam sistem negara hendaklah segala diperbaiki dan diperbaharui supaya modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi mampu dilahirkan dalam satu angka yang besar.
Warga pendidik merupakan golongan yang amat penting sebagai instruktur di sekolah mahupun di peringkat tinggi seperti di Universiti, kolej-kolej, maktab dan sebagainya. Warga pendidik sentiasa menghadapi cabaran di dalam usaha negara yang ingin melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat global. Tanpa warga pendidik yang amanah dan prihatin sudah pasti usaha melahirkan modal insan kelas pertama akan tergendala.

Selain itu, aspek ekonomi juga turut memberikan cabaran yang kuat kepada pihak kerajaan. Hal ini kerana perkembangan globalisasi yang sangat cepat dan kompetitif. Negara terpaksa memberikan saingan sehingga ke peringkat akal umbi untuk merebut peluang-peluang ekonomi di pasaran antarabangsa. Dari aspek ekonomi ini, negara bukan sahaja menghadapi cabaran persaingan dari negara-negara luar sahaja. Negara juga menghadapi beberapa cabaran yang wujud di dalam negara kita sendiri juga.
Oleh itu, segala cabaran yang dihadapi oleh negara, adalah satu tanggungjawab bersama kita sebagai rakyat Malaysia. Kerjasama yang berterusan haruslah diberikan oleh lapisan masyarakat agar modal insan yang kita lahirkan dapat menjadi pembangkin utama untuk merealisasikan impian Wawasan 2020.

Cabaran Dalam Pendidikan

Cabaran dari aspek pendidikan yang dihadapi oleh Pendidikan Negara dan Pendidikan Islam dalam pembangunan modal insan adalah disebabkan kelemahan penguasaan kemahiran 3M dalam kalangan pelajar terutamanya menulis dan membaca tulisan jawi bagi subjek Pendidikan Islam dan penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi matapelajaran lain. Secara tidak langsung, perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek secara seimbang dan menyeluruh tidak dapat dijana kerana nilai-nilai pembelajaran yang diterapkan tidak mampu diserap dan dibentuk dalam diri pelajar.

Kemahiran penguasaan 3M dalam kalangan pelajar merupakan satu aspek penting dalam meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan di kalangan pelajar dengan perlaksanaan KBSR dan KBSM di sekolah-sekolah selaras dengan pembangunan modal insan yang diharapkan oleh Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Ia merupakan satu fokus dan strategi yang dilakukan bagi membangunkan modal insan terhadap penguasaan 3M ini bagi memastikan pelajar mempunyai minda kelas pertama.

Selain itu juga, ia merupakan satu langkah ke arah memperkasakan sekolah kebangsaan ke arah meningkatkan kecemerlangan terhadap pemantapan kurikulum dengan memastikan semua murid Tahap 1 menguasai 3M. perkara ini juga termasuk dalam fokus Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010). Oleh itu jika permasalahan kegagalan pelajar menguasai 3M ini masih berlarutan, maka cabaran Malaysia dalam membangunkan modal insan melalui sistem Pendidikan Islam dan Pendidikan Negara pasti tidak tercapai dan menemui kegagalan.

Cabaran seterusnya yang perlu difikirkan oleh negara ialah cabaran untuk mewujudkan rakyat minda kelas pertama. Dalam hal ini, ia bukan satu perkara yang mudah tetapi tidak pula mustahil untuk dicapai jika masing-masing pihak yang bertanggungjawab tahu memainkan peranan dan menentukan fokus ke arah mencapai matlamat tersebut. Pemupukan minda kelas pertama hanya akan wujud insan yang mempunyai kualiti dalam semua aspek kehidupannya baik dari segi pendidikan, tingkah laku (moral), pekerjaan, cara berfikir dan bertindak, kesedaran sivik yang tinggi serta tahu apa perananannya kepada agama, masyarakat dan negara.

Rakyat yang kurang kesedaran sivik, cetek pemikirannya dan mengutamakan hiburan semata-mata sudah pasti tidak berupaya untuk memiliki minda kelas pertama seperti yang diidamkan kerajaan iaitu berilmu (intelektual) dan berperibadi mulia. Adalah dirasakan IPT pada hari ini perlu mengadakan satu pembaharuan agar pengetahuan teknikal dan insaniah diletakkan seiring tanpa memberatkan pengetahuan teknikal semata-mata. Pembangunan modal insan sebagaimana yang diutarakan oleh Perdana Menteri secara tidak langsung berkait rapat dengan isu kualiti produk IPT hingga dikatakan mengakibatkan lambakan graduan yang tidak memiliki pekerjaan.

Puncanya pada masa kini adalah disebabkan graduan tidak berketerampilan dan tidak memiliki kemahiran, khususnya kemahiran insaniah sebagaimana yang dituntut oleh majikan, di samping pasaran kerja yang kompetitif. IPT perlu menjana graduan yang memiliki kemahiran yang seimbang dan menyeluruh sama ada dari sudut kualiti intelektual mahupun keterampilan insaniah yang merangkumi aspek sikap, akhlak dan sebagainya.

Untuk menangani isu ini, maka Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan pendekatan yang menyeluruh dengan memperkenalkan kemahiran insaniah (KI) (soft skills) yang telah dilancarkan oleh Datuk Mustapa Mohamed baru-baru ini. KI merangkumi aspek-aspek kemahiran generik yang melibatkan elemen kognitif yang berkaitan dengan kemahiran bukan akademik seperti nilai positif, kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.

Selain daripada itu, di era globalisasi ini juga menuntut agar modal insan yang dilahirkan nanti boleh berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan orang lain. Sistem pendidikan pada hari ini perlu menyediakan satu infrastruktur yang membolehkan seseorang individu itu memperkembangkan ilmu yang dimiliki dan bukannya menjadikan ilmu yang dimiliki sebagai aset di perpustakaan atau di rak buku. Bak kata pepatah Cina, beri seseorang seekor ikan dan anda telah membekalkannya makanan untuk sehari, tetapi jika berinya kail dan ajarnya bagaimana cara menangkap ikan dan anda telah membantu membekalkan makanan untuk selama-lamanya.

Salah satu perkara yang kurang diberi perhatian dan dianggap remeh oleh sesetengah pihak ialah peranan kegiatan ko-kurikulum dalam sistem pendidikan negara. Tidak dapat dinafikan aktiviti ko-kurikulum dapat melahirkan insan yang sihat tubuh badannya, mental dan fizikalnya. Ramai masyarakat negara kita tidak mengetahui apakah peranan kegiatan ko-kurikulum ini dalam pembentukan modal insan.
Hal ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya khususnya di IPT agar kegiatan ini mendatangkan faedah dan pada masa yang sama modal insan dapat dijana melalui aktiviti yang dijalankan. Pembentukan pasukan Palapes misalnya dapat menjana kerjasama berpasukan, “decision making”, disiplin serta leadership di kalangan mahasiswa. Begitu juga dengan kegiatan seperti Silat, olahraga, kompang, kesenian, dan sebagainya perlu dipastikan agar ia dapat menyumbangkan ke arah pembentukan modal insan dan bukan semata-mata untuk memenuhi kredit yang diwajibkan.


Cabaran Kepada Para Pendidik

Harta paling berharga bagi sebuah negara adalah warganya sendiri. Kualiti rakyat sesebuah negara disifatkan modal insan yang perlu ditagih buat memacu kegemilangan.Cabaran pembinaan modal insan terletak sebahagian besar di bahu pendidik. Mereka terbabit dalam dunia pendidikan dan latihan untuk mengembangkan potensi, bakat dan kualiti seseorang murid atau pelajar.Pendidikan penting dalam menyediakan negara dengan modal insan berkualiti yang memiliki sahsiah, berkemahiran tinggi serta mampu berfikir secara kreatif dan kritis khususnya untuk mengisi ruang pemodenan menuju wawasan 2020.Antara tugas penting warga pendidik dalam membangun modal insan ialah membentuk personaliti unggul dalam membina kepemimpinan mantap.
Personaliti unggul bakal diterjemahkan melalui peribadi mulia, mempunyai sifat amanah dan kepemimpinan mulia serta berdisiplin dalam setiap tugasan.Cabaran warga pendidik pastinya pada menyemai benih nilai murni ke arah pembentukan personaliti unggul itu. Perancangan rapi harus direncana bagi merealisasikan impian itu. Di antara tugas utama warga pendidik ialah meningkatkan keupayaan, minat dan bakat murid bagi menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Penguasaan bahasa Inggeris sebagai penambah nilai modal insan dikenal pasti antara perkara yang amat dititikberatkan.

Selain itu, pendidikan sains adalah usaha memperkasakan minda saintifik di kalangan murid. Rangsangan minda mampu melahirkan murid yang berfikir secara kreatif dan inovatif serta mempunyai daya inkuiri tinggi. Untuk itu, pengenalan Program F1 Technology Challenge and Robotic kendalian Kementerian Pelajaran memberikan pendedahan minat berfikiran ala saintifik dan berinovasi di kalangan anak muda.Galakan penggunaan ICT pula dalam pengajaran dan pembelajaran seperti pengenalan pengajaran ICT Learning seawal peringkat tahap satu di sekolah rendah dapat merangsang minda murid untuk menerapkan elemen teknologi maklumat di dalam pemikiran bercorak futuristik.


Cabaran Dalam Ekonomi

Keadaan ekonomi semasa masih lagi menggalakkan. Asas ekonomi negara terus kukuh, termasuk tabungan yang tinggi, kadar pengangguran yang rendah dan inflasi yang terkawal. Keyakinan penggunaan dan sentiment pelabur pula semakin mantap. Berdasarkan perangkaan terkini, pertumbuhan ekonomi negara didorong oleh kegiatan ekonomi dalam negeri, iaitu :

•Pertama, perbelanjaan permintaan dalam negeri terus mantap dengan peningkatan penggunaan dan pelaburan sector swasta yang disokong oleh pengukuhan kuasa beli rakyat, pendapatan korporat yang meningkat serta kadar faedah yang rendah.

•Kedua, jumlah pinjaman dalam sistem perbankan terus meningkat sebanyak 8.3 peratus. Prestasi sector perbankan pula kian kukuh dengan paras Hutang Tak Berbayar atau NPL nyata berkurangan daripada 6.8 peratus pada Februari 2004 kepada 5.8 peratus pada bulan Februari 2005.

•Ketiga, kedudukan perdagangan negara terus kukuh dengan imbangan perdagangan negara berada pada kedudukan lebihan selama 88 bulan berturut-turut sejak bulan November 1997.

Perangkaan di atas jelas menunjukkan bahawa keadaan ekonomi negara pada masa ini berada pada landasan yang kukuh untuk terus maju dan berkembang. Sungguhpun demikian, kita perlu meningkatkan lagi usaha memandangkan negara berhadapan dengan persekitaran luar yang masih tidak menentu dan kian mencabar. Era globalisasi menyebabkan berlakunya persaingan di pasaran antarabangsa. Keadaan ini menyebabkan harga minyak tinggi, peningkatan kadar faedah, bencana alam seperti gempa bumi, penularan penyakit, ketegangan geopolitik dan keganasan, di samping kebangkitan ekonomi baru seperti China dan India turut memberi cabaran kepada kita.
Selain itu, cabaran dalam negeri juga perlu diberi perhatian. Antaranya termasuklah usaha untuk meningkatkan trickle down effect dalam ekonomi supaya faedah pertumbuhan dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Oleh itu, kualiti hidup rakyat dapat diperkukuhkan lagi sementara kos kehidupan terus terkawal, peluang pekerjaan diperbanyakkan (termasuk kepada para graduan) dan usaha terus diambil untuk meningkatkan tahap daya saing negara dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mantap.
Dalam hal ini, penerokaan sumber pertumbuhan baru perlu dipertingkatkan, termasuk dalam sektor perkhidmatan dan pertanian. Umpamanya, sektor pertanian mempunyai potensi yang tinggi. Contohnya, dalam kegiatan ternakan ikan laut, ikan hiasan, haiwan berbaka baik dan penanaman sayur-sayuran, bunga-bungaan serta herba. Sektor swasta pula turut memainkan peranan supaya lebih dinamik dan lebih banyak membuat pelaburan di dalam pertanian dan juga sektor-sektor lain supaya terus menerajui pertumbuhan ekonomi.

Sungguhpun kita berhadapan dengan cabaran luaran dan dalaman, pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus kukuh. Oleh yang demikian, kita perlu bekerja dengan lebih gigih untuk mencapai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi bagi mengimbangi pertumbuhan yang perlahan, terutamanya semasa negara mengalami krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan 1998.


Cabaran Dalam Perkhidmatan Awam

Perkhidmatan awam selalu berubah. Namun begitu, kadar perubahan dunia menjadi lebih pesat, lebih-lebih lagi dalam masa satu dekad yang lalu. Dunia kini semakin kompetetif. Ia membawa cabaran besar kepada semua sektor dalam negara, termasuk sektor awam. Jika dahulu Malaysia bersaing dengan negara membangun lain, kini Malaysia harus bertanding dengan negara-negara lain dipelosok dunia. Perkhidmatan awam mempunya peranan yang besar untuk menyahut cabaran ini, supaya Malaysia lebih berdaya saing. Kita tidak boleh lagi bertanding atas kerendahan kos pekerja atau atas penyediaan pakej insentif semata-mata. Kita sudah termasuk dalam kategori negara yang harus bersaing atas asas kualiti, sama ada kualiti barangan mahupun kualiti perkhidmatan dan ini termasuklah perkhidmatan awam.

Pelabur asing, usahawan tempatan, pekerja berpengetahuan tinggi semuanya akan berinteraksi dengan anggota perkhidmatan awam dalam menjalankan aktiviti mereka, dari hal-hal besar seperti permohonan permit eksport, kepada hal-hal kecil seperti pembaharuan eksport. Sektor swasta, sama ada orang asing atau tempatan, memerlukan perkhidmatan yang cekap dan memudahkan pekerjaan mereka. Jika perkhidmatan yang baik tidak dapat diberikan, peniaga dan pelabur akan mencari negara lain, di mana kualiti perkhidmatan dipentingkan.

Begitulah derasnya arus dunia sekarang, yang cepat dan efisen mendapat habuan luar biasa, sementara yang lambat dan tidak cekap akan mendapat sisa-sisa. Oleh itu, sektor awam harus menjadi pemberi khidmat dan pemudah cara kepada aktiviti sektor swasta. Malah peranan sektor awam ini telah dijelaskan melalui Dasar Pensyarikatan Malaysia yang bermula pada tahun 1983.

Jesteru itu, dari luar sempadan, kita menghadapi cabaran arus dunia yang semakin deras dan bergelora. Dari dalam pula, kita menghadapi cabaran besar untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin bertambah. Pada tahun 1990 hingga 2002, jumlah penduduk Malaysia bertambah daripada 18 juta ke 24 juta, iaitu peningkatan sebanyak 33 peratus. Dalam jangka masa yang sama, jumlah anggota perkhidmatan awam bertambah daripada 1.06 juta ke 1.23 juta orang, iaitu sebanyak 16 peratus, separuh daripada kadar peningkatan penduduk negara. Peningkatan dalam beban kerja ini sedikit sebanyak dapat dikurangkan melalui sistem berkomputer dan penambahbaikan proses kerja. Walaupun begitu, kita tidak dapat menafikan bahawa tanggungjawab anggota perkhidmatan awam telah meningkat.

Seperti perubahan arus dunia, kita juga tidak dapat lari dari peningkatan keperluan dan kesedaran rakyat. Apabila sesebuah negara menjadi semakin maju, dan rakyatnya semakin berpengetahuan, tuntutan ke atas kualiti perkhidmatan awam sentiasa meningkat. Anggota perkhidmatan awam adalah daripada kalangan rakyat. Oleh itu, rakyat haruslah bersama-sama dengan perkhidmatan awam untuk meningkatkan kualiti dan mengejar pembaikan, supaya kita dapat menjadi satu masyarakat maju dalam erti kata sebenar.

sekian,, harap dapat berkongsi ilmu tentang cabaran membangunkan modal insan.
sila tinggalkan komen anda..

3 ulasan:

  1. tahniah....satu penulisan yang menarik disamping fakta dan hujah berkesan telah ditonjolkan.

    BalasPadam
  2. sangat menarik dan seronok untuk dibaca...

    BalasPadam
  3. tahniah atas penulisan ini tapi dari sumber rujukannya...buku? kertas kerja? artikel?

    BalasPadam