Khamis, 18 Mac 2010

Pengenalan Modal Insan

Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri untuk memacu pembangunan ekonominya. Melalui rancangan pembangunan 5 tahun yang telah diperkenalkan sejak merdeka, Wawasan 2020 kini menjadi matlamat iaitu ke arah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Bagaimanapun, proses pencapaian taraf negara maju memerlukan lebih daripada pembangunan infrastruktur dan pendapatan per kapita yang tinggi di kalangan penduduk. Aspek-aspek lain perlu diambil kira seperti tahap pendidikan, kesihatan dan kualiti sumber manusia atau modal insan. Oleh yang demikian, pembangunan sumber manusia yang dikenali juga modal insan (human capital) adalah agenda yang diberi penekanan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) bagi meningkatkan kualiti taraf hidup di Malaysia.

Istilah modal insan pada mulanya dipercayai pertama kali dibincangkan oleh Arthur Cecil Pigou (1877-1959) dalam karyanya, A Study in Public Finance pada tahun 1928. Kemudiannya diikuti tokoh-tokoh seperti Jacob Mincer dalam artikelnya Investment in Human Capital and Personal Income Distribution pada tahun 1958 dan Gary Becker dalam Human Capital pada tahun 1964. Pada aspek yang tertentu, idea mereka menyamai idea Karl Marx (1818-1883) iaitu konsep labor power. Bagi definisi Barat, pembangunan modal insan didefinisikan sebagai suatu cara untuk mengenal dan mengkategori kemahiran dan kebolehan orang yang diguna dalam pengambilan pekerja dan dalam hal lain, mereka memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Menurut perspektif mereka, mereka begitu memberi fokus kepada pembangunan sumber manusia dari sudut pengetahuan dan kemahiran tertentu yang dapat memberi pulangan kepada ekonomi sesebuah organisasi atau masyarakat. Sebaliknya, pada perspektif Islam, modal insan dilihat tidak sekadar mementingkan aspek pembangunan intelektual dan emosional bahkan melibatkan pembangunan spiritual. Islam melihat modal insan sebagai suatu konsep yang amat luas dan lebih terperinci tanpa terdapat lompang-lompang yang tidak dihuraikan. Definisi yang komprehensif ini dapat menjelaskan betapa pentingnya sumber ini kepada sesebuah negara khususnya umat Islam.

Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara. Modal insan ataupun sumber manusia (human resource) yang menjadi pemacu kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah tamadun yang wujud di dunia perlu dititikberatkan dalam kaca mata pembudayaan ilmu. Perkara ini begitu penting terutamanya apabila disentuh siapakah pewaris khazanah dan amanah negara? Sudah pasti akan terbayang di mata bahawa pewaris terbaik yang paling hampir untuk menerajui negara ialah golongan mahasiswa di seluruh negara. Golongan ini perlu diasuh dan diberi latihan mencukupi bagi memantapkan elemen-elemen sumber manusia. Sekiranya pembentukan ini terbantut, sudah pasti harapan menggunung terhadap mereka akan turut hancur. Mereka perlu diberi kefahaman yang jelas berkaitan ilmu dan maklumat. Manusia yang berkualiti ialah mereka yang memiliki ilmu dan nilai ilmu yang berkualiti. Ilmu dapat memandu mereka berfikir dan bertindak. Tiada ilmu, maka tiadalah ketamadunan yang didambakan selama ini. Mereka sudah pasti tidak akan dapat mengubah kualiti hidup mereka kepada yang lebih baik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan