Khamis, 11 Februari 2010

Isu-Isu Dalam Pembangunan Modal Insan

Setiap usaha yang dijalankan kerajaan pasti akan menjadi perbualan masyarakat umum. Ianya akan menjadi satu isu untuk satu tempoh masa yang panjang sehinggalah suatu perkara itu berjaya mencapai matlamatnya dan ianya akan menimbulkan isu yang positif selepas itu. Antara isu yang sering menjadi perbualan rakyat Malaysia berkaitan dengan pembangunan modal insan adalah seperti :
i. Pendidikan di Malaysia
ii. Peranan wanita dalam modal insan
iii. Masyarakat melayu
iv. Ekonomi di Malaysia dalam aspek pembangunan modal insan

Pendidikan di Malaysia

Pendidikan dan modal insan merupakan dua perkara yang saling bergantungan antara satu sama lain. Ini kerana melalui pendidikanlah dapat mengeluarkan modal insan dan modal insan tidak akan dapat dilahirkan tanpa adanya pendidikan. Pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Pencapaian yang dijana melalui sistem pendidikan akan menentukan hala tuju negara pada masa depan. Proses pendidikan adalah jambatan yang membawa pengetahuan, latihan, potensi dan semua elemen kualiti yang ada pada manusia iaitu modal insan ke suatu dimensi yang lebih dinamik dan progresif bagi menggerakkan kemajuan negara. Persoalan sekarang bagaimanakah sistem pendidikan negara dapat mencapai objektif bagi melahirkan modal insan untuk pembangunan negara pada masa akan datang? Di antara perkara yang sering menjadi perhatian dalam sistem pendidikan di Malaysia hari ini ialah bagaimanakah untuk mengelakkan berlakunya pengangguran, memastikan kurikulum relevan dengan kehendak semasa dan mengelakkan pembaziran sumber manusia. Pengetahuan dan kemahiran merupakan sebahagian daripada modal insan dan tanpanya sukar bagi umat Islam untuk mencapai sebarang matlamat.

Dalam era globalisasi pada hari ini, didapati subjek mengenai globalisasi perlu disentuh dalam setiap kurikulum. Perkara ini telah dibuat kajian oleh salah seorang Professor di UPM di mana beliau mendapati subjek globalisasi perlu diserapkan dalam kurikulum ataupun menjadikan ia sebagai satu subjek besar. Usaha ini bagi mendedahkan generasi masa kini terhadap isu-isu globalisasi dan secara tidak langsung dapat membentuk pemikiran kreatif dan ”up to date” di kalangan graduan IPT. Ini adalah salah satu contoh nilai tambah yang boleh kita lakukan dalam kurikulum IPT pada hari ini. Teras kedua daripada lima misi nasional seperti yang digariskan kerajaan ialah untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama di kalangan rakyat jelata. Kerajaan berpendapat kejayaan masa hadapan negara bergantung kepada mutu modal insan yang dimiliki, bukan sahaja dari segi intelek tetapi juga keperibadian. Sejajar dengan teras ini, pihak berwajib perlu melaksanakan usaha penambahbaikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh, dari peringkat prasekolah hinggalah ke peringkat tinggi dan vokasional. Di peringkat sekolah rendah didapati kerajaan telah mengumumkan Bahasa Mandarin akan diajar sebagai mata pelajaran penuh di 150 sekolah kebangsaan sementara bahasa Tamil diajar di 70 sekolah kebangsaan adalah salah satu langkah yang patut dipuji dalam usaha membentuk perpaduan kaum sejak di bangku sekolah. Usaha ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan isu perpaduan kaum adalah agenda besar negara di mana perpaduan kaum tetap menjadi agenda penting dalam pembangunan negara sejak merdeka sehingga kini.

Pada hari ini saban hari media menyajikan berita-berita mengenai pembunuhan kejam, ragut, penderaan, pelacuran, rasuah, mat rempit, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Apakah ini cara hidup masyarakat yang sudah bertamadun dan merdeka? Bagaimana kita nak mengaku yang negara kita sudah bebas dan merdeka seandainya hendak keluar rumah seorang diri tanpa teman pun sudah tidak selamat? Perkara inilah yang perlu kita fikirkan bersama. Apakah usaha yang perlu dilakukan untuk membendung masalah ini. Justeru itu sistem pendidikan di negara ini juga perlu memikirkan cara dan membuat penyelidikan bagaimanakah perkara ini boleh terjadi dan mencari jalan penyelesaiannya. Apa yang perlu kita fikirkan bersama ialah apakah sistem pendidikan kita pada hari ini masih belum mencukupi untuk mendidik masyarakat agar menjadi masyarakat penyayang? Tidak cukupkah dengan pengenalan mata pelajaran seperti Sivik dan Moral? Atau perlu diadakan mata pelajaran tambahan? Antara pendekatan yang boleh diambil dalam menyelesaikan masalah ini ialah pihak kerajaan perlulah sentiasa membuat pemantauan keatas sistem-sistem pengajaran yang digunakan disekolah supaya ianya sentiasa beredar mengikut zaman dalam membentuk modal insan yang sempurna.

Bagi Institusi tinggi pula, Institusi pendidikan ini perlulah menyediakan persekitaran yang menggalakkan atau menjana lebih banyak usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D)dan tidak dapat dinafikan penyelidikan adalah satu amalan yang lumrah di universiti di luar negara dan mereka telah membuktikan universiti yang terkenal dan berjaya adalah universiti yang menjalankan banyak penyelidikan. Justeru itu, diharapkan dalam sistem pendidikan di Malaysia, R & D dilakukan secara berterusan dan digunakan untuk pembangunan insan dan negara dan bukannya untuk di simpan dalam perpustakaan. Rentetan daripada ini juga institusi pendidikan di negara ini diharapkan melakukan usaha penyelidikan dan pembangunan bukan sahaja ke arah pembangunan fizikal negara semata-mata malahan penyelidikan juga perlu tertumpu kepada bagaimana hendak mewujudkan pembangunan modal insan yang berkesan, masalah atau kekangan dalam pembangunan insan, cara penyelesaian dan sebagainya. Dalam hal ini, ia bukan satu perkara yang mudah tetapi tidak pula mustahil untuk dicapai jika masing-masing pihak yang bertanggungjawab tahu memainkan peranan dan menentukan fokus ke arah mencapai matlamat tersebut.


Peranan wanita dalam modal insan

Pembangunan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada keupayaan kaum lelakinya sahaja. Ini kerana disebalik kejayaan kaum lelaki pasti ada wanita yang mendorongnya untuk berjaya. Wanita hari ini bukanlah seperti wanita pada zaman dahulu. Wanita hari ini kebanyakannya adalah mereka yang mementingkan kerjaya. Persoalannya disini ialah sejauh manakah kaum wanita di negara kita membantu dalam membangunkan modal insan. Sememangnya kita ingin melihat wanita di negara ini lebih kompetetif dan memberikan impak kepada pembangunan dan kemajuan negara. Masyarakat yang bermaruah tinggi seharusnya memartabatkan dan menjulang nama negara dipersada antarabangsa. Wanita juga adalah modal insan yang signifikan dan seharusnya turut menyumbang bersama lelaki demi merealisasikan negara Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Wanita pada hari ini seharusnya berusaha dalam menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat, agama dan negara. Malaysia sentiasa menghormati prinsip kesaksamaan gender. Wanita telah menunjukkan kejayaan cemerlang apabila diberikan peluang yang saksama. Sumbangan wanita didalam pembangunan modal insan tidak boleh dinafikan kerana wanita yang tidak bekerja, membantu urusniaga keluarga, menjadi surirumah sebenarnya memberikan sumbangan besar dari sudut ekonomi dan sosial serta pembangunan keluarga. Tetapi ia tetap menjadi persoalan disini mengenai sejauhmanakah tahap pengorbanan mereka terhadap tanggungjawab yang mereka pikul. Persoalan ini timbul apabila negara didedahkan dengan masalah sosial oleh golongan belia yang semakin menjadi-jadi. Masalah yang mendapat perhatian kini adalah tentang golongan wanita yang lari dari rumah mengikut kekasih. mengikut statistik orang hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM), ada kes mengikut teman lelaki membabitkan remaja perempuan seawal usia 10 tahun, manakala peringkat umur 14 dan 17 tahun adalah paling ramai terbabit iaitu 4,097 orang.

Dalam misi negara untuk membangunkan modal insan, golongan wanita sepatutnya lebih fokus kepada pendidikan dan aspek menjadikan diri seorang insan yang baik. Ibu bapa terutamanya ibu yang tidak bekerja seharusnya perlu memberikan lebih perhatian kepada anak-anak supaya mereka tidak terdedah dengan perkara yang merugikan mereka sendiri. Golongan wanita dilihat mampu menjana ekonomi negara dari segi perniagaan. Golongan wanita di Malaysia bijak dalam menjalankan perniagaan justeru masalah yang melibatkan golongan wanita ini akan merugikan negara. Pihak-pihak yang terlibat perlu memandang serius akan hal ini. Pembangunan modal insan tidak akan berjaya secara keseluruhannya jika masyarakat Malaysia terutamanya wanita masih lagi mengikut lelaki asing dan berhijrah ke negara yang pendapatan per kapitanya rendah hanya kerana cinta. Golongan wanita sendiri perlu bijak dalam menangani masalah ini. Misi negara untuk menjadi negara maju pada tahun 2020 dianggap kurang berjaya jiika rakyatnya masih lagi mudah diperdaya oleh rakyat asing.

Sejauh mana pembangunan modal insan diperlukan dalam membangunkan sesebuah negara. Adakah negara yang megah dengan kehebatannya mempunyai masyarakat yang baik akhlaknya. Perkara ini sering dijadikan isu oleh sesetengah pihak untuk membantah perlaksanaan pembangunan modal insan. Untuk pengetahuan, pembangunan modal insan sangat penting bagi sesebuah negara dalam membentuk keharmonian sejagat. Modal insan yang kukuh akan menjamin masa depan negara berada pada tahap yang membanggakan.


Masyarakat melayu

Orang melayu khususnya perlu mengambil peluang daripada semua usaha kerajaan ke arah pembangunan modal insan. Kita percaya Misi Nasional sepanjang 15 tahun akan terus memberi ruang dan peluang kepada orang melayu mengejar ilmu dan pengalaman untuk menjadi sebahagian penting dalam negara Malaysia yang maju.
Dalam konteks pembangunan usahawan, orang melayu diakui masih di belakang. Sering dilaungkan agar orang melayu berusaha membina budaya perniagaan dan keusahawanan untuk mampu berdaya saing dalam perniagaan. Namun sebelum itu, orang melayu perlu terlebih dulu mengambil bahagian dalam membina budaya pembelajaran supaya dapat menjadi modal insan berkualiti. Oleh itu semua perancangan kerajaan berkaitan pembangunan modal insan hendaklah diberi perhatian oleh orang melayu.

Bagaimanapun, kita bimbang melihat keadaan sekarang di mana orang melayu kelihatan lebih mudah dan bersedia untuk menerima budaya hiburan. Sedar atau tidak, sogokan hiburan jelas begitu banyak sekali dalam kehidupan masyarakat kita sekarang. Pelbagai pihak kelihatan berlumba menghidangkan bermacam bentuk hiburan kepada masyarakat. Hakikatnya ialah orang melayu lebih cenderung menyahut semua bentuk hiburan ini. Hiburan pula, apabila sudah terlalu banyak, secara semula jadi menjauhkan kita daripada kegiatan penambahan ilmu untuk pembangunan modal insan. Kita dapat lihat buktinya di mana setiap bentuk rancangan hiburan sama ada pertandingan menyanyi atau berbentuk pesta akan dikerumuni orang melayu. Ada pesta hiburan berlangsung hingga larut malam dan esoknya hari bersekolah. Kita sayu melihat anak melayu masih sibuk berpesta di tengah malam walaupun esoknya perlu ke sekolah.

Negara kita tidak mempunyai banyak masa dalam perjalanan menuju Wawasan 2020. Kualiti modal insan sememangnya akan menjadi penentu kepada kemampuan negara mencapai status negara maju. Jika modal insan kita lemah, negara tidak akan berpeluang mencapai wawasan seperti dirancang. Namun, kita tidak mahu bersikap negatif. Kita percaya mampu menjadi negara maju serta berdaya saing kerana akan ada dikalangan masyarakat sudah bersedia menjadi modal insan berkualiti tinggi. Kebimbangan kita ialah sumbangan orang melayu hanya sedikit berbanding kedudukan sebagai kumpulan terbesar dalam masyarakat. Dalam tempoh tidak sampai 11 tahun berbaki ini, kita ingin melihat penekanan kuat kepada budaya pembelajaran di kalangan orang Melayu.

Beberapa pendekatan perlu diambil bagi menjamin Misi Nasional yang dijalankan berjaya. Antara pendekatan yang perlu diambil ialah pihak kerajaan haruslah bekerjasama dengan pihak-pihak lain seperti pihak sekolah, media dan swasta bagi memastikan masyarakat melayu tidak alpa dalam membangunkan modal insan. Pihak berkaitan juga harus melaksanakan sesuatu agar wujud keseimbangan dalam kegiatan berunsur hiburan supaya masyarakat kita, khususnya orang melayu, tidak terus asyik dan lupa kepada isu lebih besar dalam pembangunan negara.


Ekonomi di Malaysia dalam aspek pembangunan modal insan

Krisis ekonomi atau politik mudah dilihat dan difahami kesannya. Krisis modal insan lebih diam sifatnya namun kesannya amat besar. Kalau tidak ditangani dengan segera dan bersungguh-sungguh, bukan tahun 2009 atau 2010 yang dirisaukan tetapi hasrat kita untuk merealisasikan Wawasan 2020 mungkin terjejas. Dalam konteks pembangunan modal insan, isu kemasukan pekerja asing sering dinbangkitkan kerana strategi negara yang tidak jelas. Peningkatan jumlah buruh asing yang begitu mendadak seperti kini membanjiri hampir semua sektor ekonomi adalah satu elemen 'krisis modal insan”. Ini kerana masih ramai masyarakat Malaysia yang menganggur dan mempunyai kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan seperti itu.

Masalah ekonomi juga turut terjejas berikutan pengeluaran wang oleh pekerja-pekerja asing. Lambakan buruh asing mengepung ekonomi kita. Modal insan merupakan input utama bagi ekonomi negara kerana ia mempunyai sifat endogenous. Ia semakin berkualiti dan bernilai apabila diaplikasikan secara intensif dan apabila ia berada dalam kelompok yang sama dalam skala yang besar.Pekerja asing umpama semut yang mencari gula. Semakin banyak gulanya semakin banyak semut yang mengerumuninya. Lambakan buruh asing mengurangkan manis gula. Semakin ramai yang masuk semakin kuranglah daya tarikan Malaysia untuk menarik minat pekerja yang berkelulusan tinggi dari luar. Ia sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi Malaysia. Aliran keluar profesional Malaysia ke negara lain semakin meningkat. Pada tahun 2007 dianggarkan seramai 785,000 pekerja mahir Malaysia berkhidmat di luar negara. Dari satu sudut, ada yang berpandangan bahawa ini hanyalah perihal individu yang ingin mendapatkan gaji yang lebih lumayan. Hakikatnya masalah tirisan minda (brain drain) ini adalah satu lagi petunjuk makro bahawa ekonomi negara tidak mampu meletakkan nilai yang sewajarnya pada seorang pekerja profesional.

Memang kita bangga apabila pekerja Malaysia khususnya yang dihasilkan oleh sistem pendidikan negara diiktiraf di peringkat antarabangsa. Persoalannya, mengapa pengiktirafan ini lebih cenderung berlaku apabila golongan profesional ini meninggalkan Malaysia dan berada di luar negara? Aliran keluar pekerja profesional yang dihasilkan oleh Malaysia tidak sama seperti kita mengeksport barangan buatan Malaysia. Kita sebenarnya rugi. Kita kehilangan input utama ekonomi, modal insan yang berkualiti.

Lazimnya perbincangan mengenai modal insan banyak tertumpu pada faktor penawaran (supply-side) yang melibatkan antara lainnya kualiti sistem pendidikan (sekolah, institusi pengajian tinggi dan latihan). Memang wajar. Namun ini sahaja tidak mencukupi. Lambakan buruh asing dan fenomena brain drain mencerminkan kegagalan faktor permintaan. Kelemahan penawaran dan permintaan pekerjaan perlu ditangani secara serentak bagi mengekang 'krisis modal insan' ini daripada menjadi lebih mudarat.

1 ulasan:

  1. salam sejahtera tuan..boleh tak saya nak minta nama penuh tuan..kerana saya ingin mengambil beberapa isi daripada penulisan ni untuk dimasukkan dalam kajian saya..nama ingin dimasukkan dalam rujukan.. boleh email hmohdhaziqi@yahoo.com..

    BalasPadam