Jumaat, 19 Mac 2010

pEjAm CeLiK......

Pejam celik pejam celik...... Tak terasa plak skrg dh sampai minggu yang ke 11 untuk sem 3 nie.. kuliah ada 3 minggu lagi...pastu final exam plak... pastu balik sarawak.. x sabar nyer... x sabar nak jumpa kwn2, nak g memburu, nak g mandi sungai, nak g memancing, yang penting skali.... X SABAR NAK SAMBUT GAWAIIIIIII.... harap2 kali ni member2 kat kampung tu ramai la yg balik... bru meriah....
sem nie..... kesimpulannya mmg bosan giler la... member2 dh kuar kolej dh... teringat plak sem lepas... bru enjoy... g merata rata tempat la... men game sampai larut mlm..
sem nie... aduh,,,, bila bosan melanda jiwa ni,, menjadi la nafsu tido aku. tido jer keja aku... sampaikan asgmnt ad yg lupa nak wat... huh!!! sebut pasal asgmnt.. aduh....
semua nya buat last minit.. esok nak hantar mlm ni bru buat.... skrg pon dah nak masuk minggu ke 12 masih byk lagi asgment.... asyik2 asgment... mana x boring...
tension btul la...
pergi kelas pon x pernah awal... sampaikan ad satu kali tu lec kunci pintu... adoyai.... semua kelas x pnh dtg awal... asyik lec yg tunggu kite org... sem depan aku duduk mana ek??? kolej masih terima aku ker... kalo kena duk luar,, aku nak duk ngan sapa??????? aduh... tgk la nant mcmna..
stkt ni jer la utk mlm ni... asgmnt masih banyak menunggu tu...

Khamis, 18 Mac 2010

Pendekatan membangunkan Modal Insan

Pembangunan modal insan yang berkualiti akan dilakukan secara lebih pesat. Pendekatan perlulah bercorak holistik dan memberi penekanan kepada pembangunan pengetahuan, kemahiran, modal intelektual di dalam bidang seperti sains, teknologi dan keusahawanan. Pada masa yang sama satu budaya yang progresif mestilah dibangunkan, diiringi nilai-nilai etika dan moral yang tinggi. Inilah yang dimaksudkan modal insan mentaliti kelas pertama. Untuk memenuhi tuntutan kriteria tersebut, kerajaan telah membangunkan pelbagai program dalam semua aspek. Berikut merupakan ciri-ciri modal insan yang telah diklasifikasikan mengikut ciri utama yang meliputi pengetahuan, keperibadian dan kemahiran.

Pendekatan Dalam Aspek Pendidikan


Sepanjang 52 tahun negara merdeka, pembangunan modal insan tertumpu kepada penyediaan saluran pendidikan. Pendidikan terus menerima peruntukan bajet tertinggi, kira-kira 20 hingga 25 peratus perbelanjaan kerajaan dan 10 000 kelas dibina dalam setiap rancangan Malaysia. Ini menyumbang kepada kadar pendaftaran yang agak tinggi, iaitu hampir 100 peratus pendaftaran bagi sekolah rendah, lebih 80 peratus pendaftaran bagi sekolah menengah dan kira-kira 24 peratus pendaftaran peringkat tinggi.

Membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia merupakan agenda utama kerajaan. Salah satu kelemahan kita adalah jumlah siswazah menganggur yang terlalu tinggi. Setiap hari kita melihat rencana dalam akhbar yang menjelaskan kepada kita mengapa pasaran pekerjaan tidak mahu mengambil mereka. Hal ini kerana kurang kemahiran berkomunikasi, kurang kemampuan berfikir, kurang bertenaga dan inisiatif. Dalam hal ini, mandat untuk meningkatkan sistem pendidikan sekarang adalah jelas.

Kerajaan sekarang telah berusaha untuk memperkasakan institut pengajian tinggi di seluruh negara. Dan ini akan dilaksanakan antara lain melalui pemberian autonomi. Secara prinsipnya kita menyedari bahawa autonomi amat penting kerana ia mampu menjadikan IPT lebih berdaya saing dan meningkatkan kreativiti serta kebertanggungjawapan dalam pengurusan.

Kementerian akan juga membangunkan satu kerangka pelaksanaan autonomi di mana prasyarat penting yang perlu wujud sebelum autonomi diberikan ialah setiap IPT perlu menyediakan mekanisme kawalan di peringkat dalaman kerana pemberian autonomi secara prinsipnya adalah penurunan kuasa dan tanggungjawab ke peringkat yang lebih rendah. Secara teknikalnya pihak kementerian masih akan bertanggungjawab atas keseluruhan perjalanan IPT di sebalik pemberian kuasa autonomi itu kelak.

Usaha memperkasakan IPT akan juga dilakukan melalui peningkatan jumlah tenaga pengajar yang berkualiti. Kita mensasarkan supaya universiti penyelidikan mempunyai sekurang-kurangnya 75% tenaga pengajar berkelayakan PhD manakala universiti-universiti lain mencapai tahap 40%. Pihak kementerian akan terus membantu IPT untuk menyediakan ahli akademiknya untuk meningkatkan kelayakan ke tahap Ph.D dan kita juga maklum bahawa kebanyakan IPT telah menggunakan Ph.D sebagai kelayakan asas untuk memasuki perkhidmatan sebagai pensyarah.

Selain itu IPT perlu mencari jalan untuk menarik tenaga pengajar yang berkelayakan sama ada dari dalam atau luar negara. Potensi yang besar juga terdapat sekiranya IPT boleh menarik bakat-bakat dari industri untuk menyumbang sama ada secara sepenuh atau separuh masa dalam aktiviti pengajaran dan penyelidikan masing-masing. Selain daripada memenuhi keperluan gunatenaga akademik, pengalaman industri yang dibawa ke universiti akan menambah nilai kepada program akademik yang ditawarkan.



Pendekatan Dalam Aspek Penyelidikan dan Pembangunan


Tumpuan kedua kementerian ialah dalam soal kegiatan penyelidikan dan pembangunan. Kegiatan penyelidikan dan pembangunan mempunyai tempat dan peranan yang amat penting dalam sektor pengajian tinggi. Matlamat utama kita adalah untuk membangun dan memantapkan keupayaan penyelidikan dan inovasi di IPT supaya dapat menyumbang melonjakkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara. Bagi meningkatkan keupayaan dalam aktiviti penyelidikan kita perlu mempunyai ‘critical mass’ yang boleh menjadi enjin untuk melaksanakannya.

Berdasarkan laporan kaji selidik yang dilakukan oleh beberapa agensi, bilangan penyelidik, saintis dan jurutera kita (termasuk dari kalangan industri) adalah sekitar 30 orang bagi setiap 10,000 tenaga kerja. Bilangan ini amat jauh berbanding negara lain seperti Jepun (131.5 orang), Kesatuan Eropah (99.6 orang), Korea Selatan (89.5 orang) dan Singapura yang turut mencatatkan bilangan yang lebih tinggi iaitu 111.3 orang. Kita mensasarkan bahawa menjelang akhir tahun 2010 kita boleh mencapai kadar 35 RSE bagi mempergiat aktiviti penyelidikan dan inovasi negara.

Justeru, usaha-usaha secara berterusan perlu diambil oleh semua pihak samada di peringkat KPT atau juga IPT bagi meningkatkan pencapaian dalam bidang R&D ini. Diperingkat Kementerian, kita telah mebangunkan Malaysian Research Assessment Instrument (MyRA) bagi IPTA dan IPTS membuat penilaian kendiri atas pencapaian penyelidikan institusi masing-masing.


Pendekatan Dalam Aspek Pengantarabangsaan

Tumpuan ketiga kementerian ialah agenda pengantarabangsaan pengajian tinggi. Selaras dengan usaha menjadikan negara sebagai hub kecemerlangan pengajian tinggi di rantau ini serta bagi memenuhi sasaran jumlah enrolmen 75,000 pada tahun ini, pelbagai usaha pemasaran akan diaturkan dengan lebih strategik dan berkesan oleh Bahagian Pemasaran, JPT. Selain itu kita juga sedar bahawa usaha untuk menarik pelajar antarabangsa dating belajar ke negara ini turut diterajui oleh pihak IPT masing-masing dengan pelbagai pendekatan.

Selama ini aspek pengantarabangsaan hanya ditekankan kepada proses membawa masuk pelajar-pelajar antarabangsa. Bagi tahun 2010 ini kerajaan mengesyorkan agar skop dan aktiviti program pengantarabangsaan ini diperluaskan lagi kepada perkara-perkara lain yang turut menyumbang kepada kecemerlangan akademik secara menyeluruh. Kementerian juga akan mengenalpasti bidang-bidang tujahan yang dijadikan niche area dalam pengajian di peringkat pasca siswazah. Adalah diharapkan agar universiti dapat mengelakkan duplikasi terhadap penawaran program di peringkat pasca siswazah dan melalui pendekatan ini, ia akan menjadikan pengajian pasca siswazah akan menjadi lebih dinamik dan relevan dengan kehendak semasa.

Pada masa yang sama, kerajaan membenarkan IPTA untuk mengambil tenaga pengajar dari luar negara untuk meningkatkan suasana akademik yang cemerlang. Namun demikian, jumlah pengambilan tenaga pengajar luar masih lagi kecil. Kerajaan telah mula membenarkan IPTA mengambil tenaga pengajar luar negara berdasarkan contract for service yang membolehkan mereka dipertimbangkan bayaran tanpa mengaitkannya dengan skim gaji sektor awam. Dengan ini bermakna, IPTA dibenarkan membayar jumlah gaji yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak. IPTA perlu menggiatkan usaha untuk mendapat tenaga pengajar antarabangsa yang ternama selaras dengan matlamat 15 peratus tenaga pengajar dari luar negara di universiti penyelidikan menjelang tahun 2020.

Banyak lagi pendekatan-pendekatan yang telah diambil berat oleh kerajaan Malaysia bagi memastikan negara kita mampu memberi saingan sengit kepada negara lain di peringkat globalisasi supaya negara kita mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain. Antaranya ialah penerapan nilai integriti dalam kalangan tenaga pengajar dan pelajar, tranformasi IPT, Pelan Transformasi Kolej-Kolej Komuniti, memartabatkan Akademik dan Majlis Professor Negara, pembangunan dan kualiti pelajar, latihan internship dan keusahawanan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), Pelan Transformasi Politeknik dan Pembelajaran Sepanjang Hayat serta melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Pembelajaran 2006-2010.


Pendekatan dalam Aspek Perkhidmatan

Dalam aspek perkhidmatan pula, kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan modal insan negara kita memiliki satu keperibadian yang utuh selari dengan perkembangan sains dan teknologi yang kian pesat. Antaranya ialah menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) yang bertujuan membina upaya modal insan untuk membanteras rasuah. Rasuah merupakan salah satu pemangkin yang boleh mempercepatkan proses keruntuhan akhlak dan imej negara kita. Keprihatinan kerajaan terhadap masalah ini telah mencetuskan idea untuk menubuhkan institut tersebut.
Institut Integriti Malaysia (IIM) merupakan idea YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beliau mengisytiharkannya pada 5 November 2003. ia ditubuhkan sebagai sebuah badan autonomi yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat. IIM ditubuhkan bagi melengkapkan usaha-usaha pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Pendaftaran IIM telah pun diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan berkuatkuasa 4 Mac 2004.

Visi IIM ini ialah membentuk masyarakat Malaysia yang beretika dan berintegriti di mana warganya mempunyai nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang murni. Misi penubuhan institut ini pula adalah untuk melaksanakan objektif, strategi dan program peningkatan integriti warga Malaysia dalam semua aspek kehidupan. Objektif penubuhannya adalah sebagai jentera pelaksana Pelan Integriti Nasional (PIN) ke arah membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat.
Selain itu, kerajaan juga telah menubuhkan Pasukan Petugas Pemudah Cara Kerajaan (PEMUDAH) bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian oleh jentera kerajaan. Pada mulanya, idea untuk membentuk satu pasukan petugas khas bagi mengatasi isu birokrasi yang wujud di dalam urusan di antara perniagaan dan Kerajaan telah diperkenalkan di dalam Ucapan Tahunan Perdana Menteri kepada kakitangan Kerajaan pada 11 Januari 2007. Inisiatif bersepadu antara Kementerian diperlukan oleh pihak Kerajaan untuk menetapkan peraturan dalam pembangunan perniagaan. Selain itu, penglibatan yang aktif daripada sektor swasta adalah diperlukan untuk mencapai objektif pasukan petugas khas yang dibentuk.

Pada 7 Februari 2007, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH telah ditubuhkan. Pasukan yang terdiri daripada 23 orang ahli dari kalangan individu yang berstatus tinggi daripada sektor swasta dan awam akan melaporkan terus kepada Perdana Menteri. PEMUDAH dipengerusikan bersama oleh Y. Bhg. Tan Sri Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara dan Y. Bhg. Tan Sri Datuk Yong Poh Kon, Presiden Persatuan Pekilang-pekilang Malaysia (Federation of Malaysian Manufacturers , FMM). Terma-terma Rujukannya adalah seperti berikut :-

•Mengkaji semula status sistem penyampaian perkhidmatan awam dari segi proses, prosedur, undang-undang dan sumber manusia ke arah memperkenalkan penambahbaikan;

•Mempelajari amalan-amalan terbaik sektor swasta untuk digunapakai oleh sektor awam;

•Mengkordinasi dan menganjurkan program-program di antara agensi perkhidmatan awam ke arah memperkukuhkan daya saing Malaysia;

•Memantau pelaksanaan polisi, strategi dan prosedur ke arah meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian sektor awam; dan

•Mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu-isu berkaitan sistem penyampaian sektor awam yang dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.


Pendekatan dalam Aspek Kerohanian


Sejak negara mencapai Kemerdekaan, Islam telah mendapat tempat yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu sebagai agama rasmi negara. Kerajaan telah memainkan peranan yang besar untuk memartabatkan Islam sesuai dengan kedudukannya sebagai agama rasmi negara Malaysia.

Institut pendidikan Islam membangun dengan pesatnya, dengan terbinanya sekolah menengah kebangsaan agama, Kolej Islam, Kolej Universiti Islam dan seterusnya Universiti Islam Antarabangsa. Ini adalah bukti yang jelas bahawa pendekatan kerajaan adalah amat dinamik. Sesuai dengan tradisi Ibnu Sina dan al-Khawarizmi, sistem pendidikan tinggi islam, negara kita juga menawarkan kursus ijazah perubatan dan kejuruteraan yang berasaskan kepada teknologi untuk memberi gambaran, bahawa Islam bukan sahaja undang-undang atau ibadat khusus tetapi merupakan satu peradapan.

Kerajaan yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang memberikan penekanan yang seimbang. Islam Hadhari adalah Islam yang berasaskan kepada pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradapan. Islam Hadhari juga mengamalkan Islam sebagai satu pegangan yang memberi fokus kepada mempertingkatkan mutu kehidupan, sama ada dari segi ilmu, pembangunan fizikal dan insan, kesihatan, sistem ekonomi serta kewangan.


Islam Hadhari Berdasarkan Ilmu


Islam Hadhari tidak terbina di atas satu vakum. Kita perlu menyediakan asas yang kukuh untuk memastikan, bahawa peradapan yang hendak kita bina ini terus kukuh. Asas yang penting di dalam pendekatan Islam Hadhari ialah ilmu. Sejarah islam telah memaparkan tokoh-tokoh Islam memberikan sumbangan kepada masyarakat kontemporari tetapi meninggalkan khazanah dan gedung ilmu yang masih digunakan sampai hari ini.

Oleh itu, sesuai dengan konsep Islam Hadhari yang dipelopori oleh kerajaan, yang bermatlamatkan agar generasi baru Islam berilmu dan beriman. Rakyat negara kita diseru agar memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan supaya menjadi lebih kreatif untuk mencipta dan merekabentuk peralatan dan instrument yang boleh membantu umat tanpa mengira agama dan bangsa.


Islam Hadhari Berdasarkan Kepada Pembangunan Holistik.

Kedua, Islam Hadhari memberi penekanan secara menyeluruh dan holistik. Pembangunan yang dimaksudkan dalam konteks Islam Hadhari ialah menyentuh persoalan pertanian, bioteknologi, ICT dan lain-lain yang menjadi kewajiban bersama. Di dalam Islam, ini di namakan fardu kifayah. Contohnya, jika seorang pakar penyelidikan dan perubatan Islam telah menemui antidote kepada wabak H1N1 yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dunia, maka semua masyarakat Islam akan terlepas dari dosa.

Islam Hadhari bukanlah Islam yang terpisah atau Islam yang dijuzukkan kepada satu aspek dan diberikan gambaran itulah Islam yang sebenarnya. Kita tidak akan berlaku adil kepada Islam, jika kita memberikan tafsiran yang salah dan sempit terhadap Islam yang sebenarnya. Oleh itu, kerajaan amat berharap agar Seminar Percambahan Pemikiran Islam Hadhari ini dapat membuka minda supaya kita dapat berfikir dan memperkukuhkan lagi pegangan kita terhadap ajaran Islam yang suci.

Pengenalan Modal Insan

Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri untuk memacu pembangunan ekonominya. Melalui rancangan pembangunan 5 tahun yang telah diperkenalkan sejak merdeka, Wawasan 2020 kini menjadi matlamat iaitu ke arah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Bagaimanapun, proses pencapaian taraf negara maju memerlukan lebih daripada pembangunan infrastruktur dan pendapatan per kapita yang tinggi di kalangan penduduk. Aspek-aspek lain perlu diambil kira seperti tahap pendidikan, kesihatan dan kualiti sumber manusia atau modal insan. Oleh yang demikian, pembangunan sumber manusia yang dikenali juga modal insan (human capital) adalah agenda yang diberi penekanan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) bagi meningkatkan kualiti taraf hidup di Malaysia.

Istilah modal insan pada mulanya dipercayai pertama kali dibincangkan oleh Arthur Cecil Pigou (1877-1959) dalam karyanya, A Study in Public Finance pada tahun 1928. Kemudiannya diikuti tokoh-tokoh seperti Jacob Mincer dalam artikelnya Investment in Human Capital and Personal Income Distribution pada tahun 1958 dan Gary Becker dalam Human Capital pada tahun 1964. Pada aspek yang tertentu, idea mereka menyamai idea Karl Marx (1818-1883) iaitu konsep labor power. Bagi definisi Barat, pembangunan modal insan didefinisikan sebagai suatu cara untuk mengenal dan mengkategori kemahiran dan kebolehan orang yang diguna dalam pengambilan pekerja dan dalam hal lain, mereka memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Menurut perspektif mereka, mereka begitu memberi fokus kepada pembangunan sumber manusia dari sudut pengetahuan dan kemahiran tertentu yang dapat memberi pulangan kepada ekonomi sesebuah organisasi atau masyarakat. Sebaliknya, pada perspektif Islam, modal insan dilihat tidak sekadar mementingkan aspek pembangunan intelektual dan emosional bahkan melibatkan pembangunan spiritual. Islam melihat modal insan sebagai suatu konsep yang amat luas dan lebih terperinci tanpa terdapat lompang-lompang yang tidak dihuraikan. Definisi yang komprehensif ini dapat menjelaskan betapa pentingnya sumber ini kepada sesebuah negara khususnya umat Islam.

Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara. Modal insan ataupun sumber manusia (human resource) yang menjadi pemacu kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah tamadun yang wujud di dunia perlu dititikberatkan dalam kaca mata pembudayaan ilmu. Perkara ini begitu penting terutamanya apabila disentuh siapakah pewaris khazanah dan amanah negara? Sudah pasti akan terbayang di mata bahawa pewaris terbaik yang paling hampir untuk menerajui negara ialah golongan mahasiswa di seluruh negara. Golongan ini perlu diasuh dan diberi latihan mencukupi bagi memantapkan elemen-elemen sumber manusia. Sekiranya pembentukan ini terbantut, sudah pasti harapan menggunung terhadap mereka akan turut hancur. Mereka perlu diberi kefahaman yang jelas berkaitan ilmu dan maklumat. Manusia yang berkualiti ialah mereka yang memiliki ilmu dan nilai ilmu yang berkualiti. Ilmu dapat memandu mereka berfikir dan bertindak. Tiada ilmu, maka tiadalah ketamadunan yang didambakan selama ini. Mereka sudah pasti tidak akan dapat mengubah kualiti hidup mereka kepada yang lebih baik